MAJLIS Agama Islam Selangor (MAIS) mengarahkan satu pertemuan segera diadakan membabitkan semua pihak berkaitan bagi menyelesaikan isu dakwaan kelewatan urusan pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Kelang, baru-baru ini.
Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin berkata, pertemuan itu akan membabitkan wakil MAIS, waris yang terlibat, pengurusan Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan Dalam, Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS) serta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Katanya, langkah itu diambil sebagai komitmen MAIS untuk menyelesaikan segera isu berkenaan dan mencapai penyelesaian terbaik untuk semua pihak terlibat.
“MAIS juga akan menilai pengurusan jenazah orang Islam yang sedang dilaksanakan oleh pihak pengurusan masjid dan mengenal pasti jika terdapat ruang penambahbaikan yang boleh diambil.
“Hal ini adalah bagi memastikan pengurusan jenazah orang Islam dapat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan amanah, secara teratur dan cekap serta memenuhi tuntutan hukum syarak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa yang sama, beliau berkata, MAIS turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga yang terlibat serta menzahirkan rasa dukacita terhadap insiden yang berlaku ketika waris sedang berdepan kehilangan.
Menurut Salehuddin, MAIS mengambil maklum kenyataan media JAIS bertarikh 27 Jun lalu berhubung hasil siasatan awal berdasarkan maklumat daripada pihak pengurusan Masjid Nurul Hidayah berkaitan insiden berkenaan.
Katanya, MAIS turut dimaklumkan bahawa pihak pengurusan masjid, waris yang terlibat serta BKS telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pihak agar memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara telus dan adil.






