Prosiding Jana Wibawa tangguh, abang ipar Muhyiddin meninggal dunia

PERBICARAAN kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan projek Jana Wibawa yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini ditangguhkan berikutan abang ipar beliau meninggal dunia.

Hakim Noor Ruwena Md Nurdin yang mendengar perbicaraan kes berkenaan memutuskan untuk melapangkan prosiding hari ini, di mana peguam bela Muhyiddin dijadualkan menyambung menyoal balas saksi pendakwaan, iaitu Pengarah Nepturis Sdn Bhd, Aliza Abdul Malek.

Sehubungan itu, prosiding yang sudah mendengar 13 saksi pendakwaan memberikan keterangan, akan bersambung pada Isnin depan.

Terdahulu, peguam bela Datuk Amer Hamzah Arshad memaklumkan mahkamah bahawa abang ipar Ahli Parlimen Pagoh itu, Sahiran Md Top meninggal dunia pagi tadi.

“Pihak pembelaan memohon jasa baik mahkamah untuk mengizinkan anak guam kami untuk menziarahi arwah dan menunaikan solat sunat jenazah di Johor.

“Oleh itu, mohon supaya perbicaraan pada hari ini dilapangkan dan disambung pada prosiding perbicaraan pada minggu hadapan (13 Julai),” katanya.

Noor Ruwena yang membenarkan penangguhan terbabit turut menyampaikan ucapkan takziah kepada Muhyiddin dan keluarganya.

Pada perbicaraan semalam, Aliza memberitahu mahkamah, beliau diarahkan untuk menyediakan lima surat berbeza kepada Muhyiddin yang juga perdana menteri ketika itu bagi permohonan projek di bawah Program Jana Wibawa.

Aliza yang juga Eksekutif Kanan Perolehan Nepturis Sdn Bhd berkata, beliau menyediakan lima surat berkenaan di atas arahan bekas pemilik syarikat terbabit, iaitu Lian Tian Chuan atau dikenali sebagai TC Lian.

Katanya, kesemua surat yang disediakan beliau itu adalah bagi permohonan untuk projek Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, Selangor.

Menurut Aliza, selain menyediakan surat permohonan bagi Nepturis, beliau juga menyediakan surat bagi syarikat Permata Rebana Sdn Bhd, Fastcoll Corporation Sdn Bhd, JM Letrik Sdn Bhd dan MZ Hakujaya Sdn Bhd.

Katanya, beliau tidak tahu surat itu diserahkan kepada siapa atau dengan siapa TC Lian berurusan bagi menyerahkan surat berkenaan.

Muhyiddin, 79, yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti politik berkenaan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Muhyiddin didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Beliau turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img