PAS menyifatkan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung Bersatu akan menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan bersifat gopoh.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kuasa atau watikah berhubung penggunaan logo PRN perlu ditandatangani oleh Pengerusi PN, bukannya Presiden parti.
“Nak guna logo PN, saya rasa ada kesilapan dari segi kenyataan. Dia ingat boleh guna dengan mudah, sebaliknya ada peraturannya. Kuasa atau watikah perlu ditandatangani oleh Pengerusi PN, bukannya Presiden parti.
“Bersatu nak tanding guna logo PN sepatutnya perlu dibincang dan diperhalusi dalam PN dan tidak sepatutnya diumum. Sebab itu saya merasakan kenyataan Tan Sri Muhyiddin ‘lorat’ (gopoh) kerana ia bersifat teknikal dan perlu dibincang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Pengkalan Chepa yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud di Kota Bharu hari ini, lapor BH.
Sementara itu ketika ditanya kenyataan Bersatu yang sedia berdepan Pas pada PRN nanti, Mohd Amar yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) memaklumkan, Bersatu perlu keluar daripada PN terlebih dahulu.
“Mahu lawan PAS itu pelik. Kalau betul dia nak lawan dia tidak boleh duduk dalam PN, Bersatu kena keluarlah,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Muhyiddin berkata parti itu akan kekal sebagai komponen dalam PN serta akan menggunakan logo gabungan politik berkenaan pada PRN Johor dan Negeri Sembilan, masing-masing pada 11 Julai dan 1 Ogos ini.
Muhyiddin juga berkata, Bersatu tidak boleh disingkirkan daripada PN secara unilateral atau berdasarkan keputusan satu pihak sahaja.






