
BEKAS Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Hazani Ghazali dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Wawasan Negara bagi memperkukuh kepimpinan parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, pelantikan Hazani yang berpengalaman luas dalam bidang keselamatan dan pentadbiran awam diyakini mampu memberi nilai tambah kepada parti.
Menurutnya, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat sulung Jawatankuasa Pusat yang dipengerusikan Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah Zainudin di Petaling Jaya semalam.
“Pengalaman luas beliau dalam keselamatan dan pentadbiran awam diyakini akan memperkukuh serta memberi nilai tambah kepada parti.
“Mesyuarat Jawatankuasa Pusat turut melantik penyelaras-penyelaras negeri sebagai persediaan memperkukuh jentera parti dan penyelarasan bersama Perikatan Nasional,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saifuddin berkata, parti itu turut memutuskan untuk menyertai PRN Negeri Sembilan dengan tekad menawarkan kepimpinan berjiwa rakyat yang benar-benar berintegriti dan berwibawa.
Menurutnya, penyertaan itu berteraskan Agenda RESET dan Gagasan Konsensus Nasional Baharu, sekali gus mencerminkan kesediaan parti memperluaskan khidmat serta memperkukuh peranannya dalam membina landskap politik yang lebih matang, progresif dan segar.
“Pada masa sama, Parti Wawasan Negara komited menjadi wadah yang menyatukan kekuatan rakyat, menawarkan dasar berpandangan jauh serta membantu membina sebuah Malaysia yang lebih stabil, berintegriti dan makmur,” katanya.
Beliau berkata, pelantikan penyelaras negeri mencerminkan kesungguhan parti membina jentera yang tersusun, dinamik dan bersedia menghadapi pilihan raya.
Penyelaras negeri yang dilantik ialah Senator Azahar Hassan bagi Perlis, Abdul Razak Khamis (Kedah), Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi (Kelantan), Datuk Abdul Aziz Ismail (Terengganu), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Pulau Pinang), Datuk Zainol Fadzi Paharudin (Perak), Datuk Asmawi Harun (Pahang), Datuk Suhaimi Mohd Ghazali (Selangor), Ad Afnan Shahruddin (Wilayah Persekutuan), Badrul Hisham Shahrin (Negeri Sembilan), Tan Sri Rahim Tamby Chik (Melaka), Datuk Zulkifli Bujang (Johor), Lt Madya (B) Duke Anak Janteng (Sarawak) dan Datuk Arifin Tobias (Sabah).
Hazani, 61, berasal dari Machang, Kelantan merupakan bekas Ketua Pengarah AKPS yang pertama yang sebelum ini dipanggil Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA).
Beliau bersara pada Februari tahun lalu menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1988 dan pernah menjawat pelbagai jawatan penting antaranya Komander ESSCOM, Pesuruhjaya Polis Sabah serta Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman.






