Imigresen rehatkan 11 pegawai terbabit siasatan skandal warga asing

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) merehatkan 11 pegawainya yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan siasatan terhadap dakwaan salah guna kuasa dan rasuah.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pegawai terbabit akan direhatkan sehingga siasatan selesai bagi memastikan mereka tidak terbabit dalam sebarang urusan rasmi yang berpotensi menjejaskan proses siasatan.

“Tangkapan yang dibuat adalah membabitkan pegawai yang bertugas di Imigresen Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.

“Kita akan menunggu pihak SPRM menyelesaikan siasatan sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya dalam sidang media selepas Program Jalinan Strategik Jabatan Imigresen bersama Media 2026 di Putrajaya hari ini.

Menurut Zakaria, JIM tidak akan bertolak ansur dengan sebarang salah laku dalam kalangan pegawai dan kakitangannya.

“Kita tidak akan melindungi mana-mana pegawai tanpa mengira pangkat sama ada pegawai kanan atau pegawai bawahan. Jika mereka didapati melakukan kesalahan, tindakan yang sama akan diambil,” katanya.

Beliau berkata, jabatan itu juga akan terus memberi kerjasama penuh kepada SPRM serta agensi penguat kuasa lain bagi memperkukuhkan ketelusan dan integriti jabatan.

Katanya, usaha itu tertumpu kepada tiga aspek utama iaitu memperkukuhkan integriti penguatkuasaan, menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan serta memperkasakan integriti warga kerja Imigresen.

Dalam perkembangan berkaitan, Zakaria berkata, seramai 834 pegawai imigresen dikenakan pelbagai tindakan tata tertib sepanjang tempoh 2023 hingga tahun ini, dengan 69 daripadanya dibuang kerja.

“Bagi tahun ini sahaja, 81 pegawai dikenakan tindakan tata tertib dan daripada jumlah itu, 14 pegawai telah dibuang kerja.

“Ini menunjukkan kesungguhan kita dalam menangani isu integriti dalam kalangan pegawai dan kakitangan imigresen,” katanya.

SPRM semalam menahan reman 33 individu terdiri daripada pegawai penguat kuasa, penjawat awam, orang awam dan warga asing yang disyaki terbabit dalam pelbagai kesalahan berkaitan Akta Imigresen.

Kesemua suspek dipercayai membenarkan warga asing berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah selain menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk tujuan pekerjaan.

Tangkapan itu dibuat menerusi Op Layer di Kuala Lumpur, Op Dalang di Selangor, Op Raider di Negeri Sembilan dan Op Genuine di Melaka yang dijalankan Bahagian Perisikan SPRM bersama SPRM negeri.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img