SEBUAH kilang memproses kertas di Shah Alam mengalami kerosakan kira-kira 30 peratus selepas terbakar awal pagi tadi, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian di S.H.A Paper Mill Sdn. Bhd. pada jam 1.46 pagi.
Menurutnya, jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam tiba di lokasi kira-kira jam 1.57 pagi.
“Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah bangunan kilang kelas B berkeluasan kira-kira 100 x 200 kaki persegi dengan anggaran 30 peratus struktur terbakar.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.50 pagi dan kerja-kerja pemadaman serta proses ‘overhaul‘ masih diteruskan,” katanya.
Beliau berkata, operasi pemadaman turut dibantu anggota dari BBP Sri Andalas dan BBP Klang Utara.
Katanya, seramai 19 anggota bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan sebuah Water Tanker digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, kebakaran dipercayai bermula daripada longgokan kertas di kawasan kilang.
“Operasi pemadaman turut berdepan kesukaran apabila anggota perlu menunggu bantuan jengkaut (JCB) bagi memudahkan kerja-kerja mengalihkan longgokan kertas yang masih terbakar.
“Pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran, dua ‘dividing breeching‘ dan empat nozel dengan kaedah ‘relay pumping‘,” katanya.
Ashrul Riezal berkata, pili bomba terdekat terletak kira-kira 1,000 kaki dari lokasi kejadian dan premis itu tidak dilengkapi sistem pencegahan kebakaran.
Beliau berkata, sebuah asrama pekerja yang diperbuat daripada kontena terletak di bahagian belakang kilang dengan kira-kira 50 penghuni, namun kesemua mereka dilaporkan selamat dan tidak terjejas.
Katanya, punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.






