SEORANG lelaki ditemukan rentung selepas dipercayai gagal menyelamatkan diri apabila sebuah rumah dan kedai musnah dalam kebakaran di Lorong 3, Batu Putih dekat Sandakan, awal pagi tadi.
Mangsa dikenali sebagai Mohd. Zarman Salamat, 30, ditemukan meninggal dunia di dalam rumah berkenaan selepas api berjaya dikawal pasukan bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.56 pagi.
Menurutnya, seramai 12 anggota bersama jentera dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira sembilan kilometer dari balai bomba.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal dan sebuah kedai yang musnah sepenuhnya.
“Maklumat awal diterima memaklumkan terdapat seorang mangsa dipercayai masih berada di dalam rumah ketika kejadian,” katanya.
Beliau berkata, anggota bomba segera menjalankan operasi pemadaman sebelum api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 5.34 pagi.
“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam rumah yang terbakar menemukan mayat seorang lelaki di bahagian tengah rumah yang dipercayai merupakan bilik tidur mangsa.
“Mangsa dipercayai gagal menyelamatkan diri ketika kebakaran berlaku,” katanya.
Menurut Jimmy, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.






