Penyeludup terjun Sungai Golok, tinggalkan perahu dengan 15 tong gas LPG

CUBAAN seorang penyeludup membawa keluar 15 tong gas petroleum cecair (LPG) ke Thailand melalui Sungai Golok gagal apabila dia bertindak terjun ke sungai dan melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di pangkalan haram Mekza, Simpangan di Tumpat, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, suspek meninggalkan sebuah perahu yang sarat dengan tong gas sebelum berenang ke arah Thailand bagi mengelak ditahan.

Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, kejadian dikesan sepasukan Strike Force Kompeni C Batalion 9 PGA Kuala Terengganu ketika menjalankan rondaan motosikal menerusi Op Taring Wawasan.

Menurutnya, anggota operasi mengesan sebuah perahu dinaiki seorang lelaki tempatan dalam keadaan mencurigakan di pangkalan haram berkenaan.

“Sebaik menyedari kehadiran pasukan keselamatan, suspek bertindak terjun ke dalam Sungai Golok sebelum berenang ke arah Thailand bagi meloloskan diri.

“Hasil pemeriksaan ke atas perahu tersebut menemukan 15 tong gas LPG berkapasiti 14 kilogram jenama Petronas yang dipercayai cuba diseludup melalui laluan tidak diwartakan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas sebuah perahu dan sebuah penimbang.

“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM11,560.

“Tiada tangkapan dibuat kerana suspek berjaya melarikan diri ke negara jiran,” katanya.

Menurut Ahmad Radzi, semua barangan rampasan dibawa ke Komtak Pengkalan Kubor sebelum diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Usaha mengesan pemilik perahu sedang dijalankan bagi membantu siasatan,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img