JUMLAH mangsa banjir di Melaka terus meningkat kepada 989 orang daripada 314 keluarga yang kini berlindung di enam pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Kamarulsyah Muslim berkata, jumlah itu meningkat berbanding 970 mangsa yang direkodkan malam tadi susulan pertambahan penduduk terjejas di daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah.
Menurutnya, seramai 20 mangsa daripada beberapa kawasan di Alor Gajah dipindahkan membabitkan Taman Masjid Tanah Ria, Jalan Bandar Baru Masjid Tanah, Kampung Pulau Semut dan Kampung Seri Jeram.
“Ketika ini dua PPS masih beroperasi di daerah Alor Gajah iaitu di PERKIM Masjid Tanah dan Balai Raya Kampung Seri Jeram bagi menempatkan mangsa terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Melaka Tengah kekal merekodkan jumlah mangsa paling ramai apabila seramai 969 orang ditempatkan di empat PPS.
Katanya, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Minyak 2 menempatkan 716 mangsa daripada 227 keluarga, diikuti SK Taman Bukit Rambai dengan 186 mangsa daripada 55 keluarga.
“Selain itu, JAPERUN Pantai Kundor menempatkan 43 mangsa daripada 17 keluarga, manakala SJKC Bertam Ulu menempatkan 24 mangsa daripada sembilan keluarga,” katanya.
Kamarulsyah berkata, sebanyak 34 kawasan dikenal pasti terjejas akibat banjir setakat ini dengan 30 daripadanya berada di daerah Melaka Tengah.
“Antara kawasan yang terjejas ialah Kampung Batu Berendam, Taman Rambai Jaya, Taman Rambai Utama, Kampung Tanjung Minyak, Kampung Bertam Ulu, Kampung Batu Hampar dan Rambai Indah,” katanya.
Menurutnya, APM bersama agensi berkaitan terus memantau perkembangan banjir serta bersedia melaksanakan operasi pemindahan sekiranya keadaan memerlukan.






