SERAMAI 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Bangladesh, Indonesia dan Myanmar dikenakan denda sehingga RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini selepas mengaku bersalah atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Kesemua tertuduh turut diperintahkan menjalani hukuman penjara antara satu hingga tiga bulan sekiranya gagal membayar denda yang dikenakan.
Hakim Mahkamah Sesyen, Zulkifli Abdullah menjatuhkan hukuman itu selepas kesemua tertuduh membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mereka terdiri daripada 10 lelaki warga Bangladesh, tujuh lelaki warga Indonesia, seorang wanita warga Myanmar dan seorang wanita warga Indonesia.
Berdasarkan pertuduhan, seramai 18 tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah atau tinggal melebihi tempoh dibenarkan.
Seorang lagi tertuduh pula didakwa mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial.
Siasatan mendapati kesemua PATI terbabit ditahan dalam operasi berasingan yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan di sekitar Kota Bharu pada 1 dan 2 Julai lalu.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen, Siti Khaidijah Khairuddin, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.





