SEBUAH kilang menghasilkan peralatan sembahyang di Taman Industri Rawang, Selangor musnah hampir 80 peratus dalam kebakaran tengah hari tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.01 tengah hari.
Katanya, anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang tiba di lokasi enam minit kemudian sebelum mendapati kebakaran melibatkan sebuah bengkel membuat peralatan sembahyang milik Rentak Fantasi Sdn Bhd di Jalan Batu Arang, Sungai Bakau, Taman Industri Rawang.
“Kebakaran melibatkan bangunan Kelas B berkeluasan kira-kira 200 x 300 kaki persegi dengan anggaran kemusnahan sekitar 80 peratus.
“Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran kira-kira 35 minit selepas operasi pemadaman dimulakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi pemadaman menggunakan sumber air daripada dua buah lori tangki air berikutan tekanan air pili bomba di kawasan berkenaan rendah selain kedudukan pili yang agak jauh dari lokasi kebakaran.
Menurutnya, seramai 20 anggota bersama enam jentera daripada lima balai bomba terbabit dalam operasi berkenaan.
“Antara balai yang digerakkan ialah BBP Rawang, BBP Batu Arang, BBP Bukit Sentosa, BBP Selayang dan BBP Damansara.
“Setakat ini tiada mangsa dilaporkan terbabit, manakala operasi pemadaman dan kerja-kerja overhaul masih diteruskan,” katanya.






