SEORANG buruh didenda RM6,500 oleh Mahkamah Majistret Machang hari ini selepas mengaku bersalah menghalang tugas seorang pegawai polis dengan bertindak agresif termasuk menendang dan mengeluarkan kata-kata kesat ketika cuba ditahan, bulan lalu.
Majistret Rais Imran Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Ariff Hakimi Che Ghani, 26, selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama sembilan bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Ariff didakwa dengan sengaja menghalang seorang penjawat awam iaitu Sub Inspektor Mohmad Zulkifli Mat daripada menjalankan tugas di hadapan sebuah rumah di Kampung Laklok pada jam 8.15 malam, 27 Jun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh bertindak agresif ketika proses tangkapan dijalankan apabila tidak memberikan kerjasama semasa pemeriksaan badan.
Malah, dia turut menjerit dengan mengeluarkan kata-kata kesat termasuk menggelar pegawai polis sebagai ”menate mu beruk’ dan ‘menate polis babi’ sebelum mengulangi ungkapan itu beberapa kali sambil menendang pegawai yang cuba menahannya sehingga berlaku pergelutan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Asma’a Che Omar manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nor Husniza Akmal Husain.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Rais Imran menegur tindakan tertuduh yang disifatkan tidak wajar kerana mengherdik dan menghalang pegawai polis yang sedang menjalankan tugas.






