MAJLIS Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menyita 13 basikal dan motosikal roda tiga yang diletakkan sehingga menghalang laluan awam dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di sekitar kawasan pentadbirannya, Khamis lalu.
Dalam operasi sama, MPAJ turut mengambil tindakan terhadap lima premis perniagaan yang didapati melanggar syarat lesen termasuk menggajikan warga asing tanpa kebenaran yang sah.
MPAJ dalam satu kenyataan memaklumkan operasi itu dilaksanakan menerusi Jabatan Penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan terhadap syarat pelesenan selain menangani halangan lalu lintas di kawasan awam.
Menurutnya, sebanyak 18 pemeriksaan dijalankan sepanjang operasi berkenaan.
“Daripada jumlah itu, lima tindakan sitaan dikenakan terhadap premis perniagaan yang melanggar syarat lesen serta menggajikan warga asing tanpa kebenaran.
“Selain itu, 13 basikal dan motosikal roda tiga turut disita kerana menyebabkan halangan lalu lintas di kawasan awam,” katanya.
MPAJ berkata, penguatkuasaan tersebut bertujuan memastikan pematuhan terhadap syarat pelesenan, mengurangkan halangan di laluan awam serta menjamin keselamatan dan keselesaan orang ramai.
“MPAJ akan terus mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan secara berterusan terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.






