‘Selama ini baca berita kemalangan orang lain, hari ini abah jadi mangsa’

SEORANG anak tidak menyangka berita kemalangan maut yang sering dibacanya membabitkan penunggang motosikal akhirnya menimpa bapanya sendiri yang maut dalam nahas di persimpangan lampu isyarat Bandar Seri Cendana, Sungai Petani, hari ini.

Mangsa, Wan Mohd Shamsury Wan Mohd Samsudin, 48, dipercayai dalam perjalanan dari rumahnya di Bandar Seri Astana ke tempat kerja di Butterworth sebelum terbabit dalam kemalangan kira-kira jam 8.40 pagi.

Anaknya, Wan Muhammad Shah Danial, 25, berkata, dia masih sukar menerima hakikat pemergian bapanya kerana tidak menyangka tragedi yang sering menjadi laporan berita kini berlaku kepada keluarganya sendiri.

“Selama ini duk tengok berita RXZ… tentang orang lain yang kemalangan tetapi hari ini berlaku pada abah sendiri. Saya memang terkejut sangat,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Sementara itu, rakan mangsa, Muhammad Azri Amir, 33, berkata, dia masih terkejut kerana sempat berhubung dengan arwah menerusi aplikasi WhatsApp pada malam sebelum kejadian.

“Arwah seorang yang disenangi ramai, jarang bercakap tetapi sentiasa tersenyum. Kenangan ride bersama akan sentiasa saya ingat.

“Ke mana-mana ride, arwah sering membawa isteri dan begitu juga saya. Itu yang membuatkan kami rapat. Pagi ini apabila mendapat tahu berita ini, saya benar-benar terkejut,” katanya.

Isteri mangsa yang turut berada di HSAH kelihatan sugul dan masih terkejut dengan pemergian suaminya.

Difahamkan, sebelum kejadian, pasangan itu keluar dari rumah pada waktu yang hampir sama dengan isterinya memandu kereta, manakala mangsa menunggang motosikal beberapa minit kemudian untuk ke tempat kerja.

Bagaimanapun, sebaik tiba di Tikam Batu bagi memulakan tugas, wanita itu menerima panggilan memaklumkan suaminya meninggal dunia dalam kemalangan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta dari arah Taman Sejati membelok ke kanan menuju Bandar Seri Cendana sebelum memasuki laluan motosikal mangsa yang sedang bergerak lurus dari arah Bandar Perdana ke Taman Sejati.

Menurutnya, motosikal mangsa kemudian melanggar bahagian sisi kiri kereta berkenaan.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa terjatuh di atas jalan raya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke HSAH untuk bedah siasat, manakala pemandu kereta turut dibawa ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu kereta yang disyaki melanggar lampu isyarat sebelum memasuki simpang sehingga menyebabkan pelanggaran berlaku.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img