AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah bot fiber tidak berdaftar bersama tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) yang disyaki menjalankan aktiviti perikanan secara menyalahi undang-undang di perairan Pulau Ketam, hari ini.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot berkenaan ditahan kira-kira jam 12.30 tengah hari ketika aset Maritim Malaysia melaksanakan rondaan rutin menerusi Op EHSAN, Op TIRIS 4.0 dan Op Khas Tanjung Siri 2 di kedudukan kira-kira 0.8 batu nautika di utara Pulau Klang.
Menurutnya, bot fiber tanpa nombor pendaftaran itu dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum dipintas dan diperiksa oleh pasukan penguat kuasa.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendalikan seorang tekong warga Indonesia berusia 26 tahun bersama dua awak-awak, masing-masing seorang warga Indonesia dan seorang warga Myanmar berusia antara 26 hingga 32 tahun.
“Ketiga-tiga individu itu gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika pemeriksaan dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati bot terbabit sedang dalam perjalanan menuju ke sebuah kelong ikan di Pulau Ketam.
Katanya, tekong turut gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan vesel, sekali gus disyaki melanggar peruntukan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.
“Kesemua suspek bersama bot itu diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurut Abdul Muhaimin, kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana mengendalikan bot yang tidak berdaftar, selain Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
Beliau menegaskan Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang maritim, khususnya aktiviti perikanan haram dan kemasukan pendatang asing tanpa izin yang boleh mengancam keselamatan serta menjejaskan sumber perikanan negara.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut menerusi talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-6606652 bagi tindakan segera.






