PH Melaka kini pembangkang, bukan lagi kerajaan negeri

TINDAKAN lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Melaka hari ini secara tidak langsung menjadikan mereka kini sebagai pembangkang dan bukan lagi Kerajaan Perpaduan yang mentadbir negeri itu.

Keputusan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh itu diambil selepas usul Rang Undang-Undang Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang membolehkan pelantikan tujuh ADUN lantikan diluluskan pada Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Seri Negeri hari ini.

Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong membuat pengumuman itu pada sidang media khas yang turut dihadiri empat ADUN DAP iaitu Allex Seah Shoo Chin (Kesidang); Kerk Chee Yee (Ayer Keroh); Low Chee Leong (Kota Laksamana) dan Leng Chau Yen (Banda Hilir).

Turut menyatakan hasrat itu ialah ADUN Bukit Katil, Adly Zahari dari Parti Amanah Negara (Amanah) sekali gus menjadikan lima ADUN berkenaan sebagai pembangkang dalam DUN Melaka.

Susulan pengumuman itu, semua ADUN berkenaan secara rasmi meletakkan jawatan dalam kerajaan negeri.

Ia membabitkan Shoo Chin selaku Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Chee Yee (Timbalan Speaker DUN) dan Chee Leong serta Chau Yen (masing-masing Timbalan Exco).

Poay Tiong berkata, turut akan meletakkan jawatan adalah semua Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dilantik oleh kerajaan negeri sebelum ini.

“Kita menolak usul ADUN lantikan berkenaan kerana kita berpegang kepada prinsip kita. Saya nak tegaskan di sini yang pertama, ADUN lantikan memang bercanggah dengan prinsip demokrasi pilihan raya kerana ADUN sepatutnya dipilih melalui pilihan raya dan pemilihannya harus diserahkan kepada pengundi, bukannya melalui lantikan.

“Sekiranya kerajaan negeri ingin mendapat khidmat daripada profesional atau pakar, mereka boleh lantik golongan itu sebagai penasihat, bukannya menerusi ADUN lantikan sebab ADUN berkenaan boleh masuk ke Persidangan DUN dan boleh mengundi. Ini bercanggah dengan prinsip pilihan raya kita,” katanya pada sidang media di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Poay Tiong yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka berkata, PH bersetuju dengan khidmat profesional tetapi bukan menerusi ADUN lantikan.

“Memandangkan kita menolak dan tidak menyokong usul yang dibawa oleh kerajaan negeri itu, sewajarnya kita keluar daripada pentadbiran kerajaan negeri serta-merta.

“Surat peletakan jawatan sebagai Exco, Timbalan Exco serta Timbalan Speaker oleh semua ADUN DAP akan diserahkan kepada Ketua Menteri hari ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berterima kasih kepada Ab Rauf yang memberi peluang kepada DAP dan PH menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri menerusi kerjasama dalam pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img