DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan mengkaji keperluan serta strategi untuk mewujudkan stok simpanan petroleum negara sebagai langkah memperkukuh keterjaminan tenaga jangka panjang.
Menurut Perdana Menteri, langkah itu penting berikutan ketidaktentuan geopolitik dan krisis bekalan yang terus mencengkam dunia ketika ini.

Beliau berkata, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tenaga Negara Bilangan 1 2026 yang dipengerusikannya pagi tadi bagi memastikan agenda peralihan tenaga negara dilaksanakan secara tersusun dan berimpak berdasarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
“Setakat Disember lalu, kita telah meningkatkan kapasiti terpasang Tenaga Boleh Baharu (TBB) negara kepada 31 peratus selaras usaha mengurangkan kebergantungan kepada arang batu. Usaha ini diperkukuh melalui kejayaan Skim CRESS yang kini dilengkapi Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS).
“Dalam sektor pengangkutan pula, pelaksanaan Biodiesel B15 memacu negara ke arah penggunaan bahan api alternatif yang lebih mampan, dan akan diperkukuh dengan hab biobahan api Petronas di Pengerang,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Perdana Menteri, projek elektrifikasi pengangkutan awam turut berjalan mengikut perancangan, termasuk pengoperasian 250 bas elektrik serta liputan 800 kilometer rangkaian rel.
“Di Sarawak, Fasa 1 pembangunan hab hidrogen bagi Transit Aliran Automatik (ART) dijadual siap hujung tahun ini,” katanya.
Justeru, Anwar berkata, Malaysia perlu bersiap siaga bagi menjamin keterjaminan tenaga jangka panjang susulan perubahan landskap tenaga global.






