Adly Zahari tetap sokong Ab Rauf Ketua Menteri Melaka: Tiada keperluan tarik sokongan

WAKIL tunggal Parti Amanah Negara (Amanah) di Melaka, Adly Zahari menjelaskan beliau terus kekal menyokong kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh meski pun empat wakil rakyat DAP membuat keputusan sebaliknya semalam.

Adly yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka berkata, tiada keperluan untuk beliau menarik sokongan terhadap Ab Rauf buat masa ini meskipun empat rakannya daripada DAP berbuat demikian.

“Buat masa ini memanglah kita tahu bahawa kita sebagai seorang ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri), Ketua Menteri kita dia (Ab Rauf) seorang (sahaja) bukan ada ramai pun.

“Soal jawatan, saya nak letak jawatan apa?. Saya tak ada jawatan apa-apa pun dalam kerajaan negeri ketika ini,” kata ADUN Bukit Katil itu dalam sidang media di Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini.

Semalam, Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong dalam sidang medianya memaklumkan beliau bersama tiga ADUN parti itu menarik sokongan terhadap kerajaan negeri sebagai bantahan terhadap kelulusan Rang Undang-Undang Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang memperkenalkan pelantikan ADUN lantikan.

Keputusan itu, dakwa Poay Tiong, menyaksikan wakil PH membabitkan empat ADUN DAP dan seorang wakil Amanah melepaskan semua jawatan dalam kerajaan negeri termasuk jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Timbalan Speaker dan Timbalan Exco.

Sementara itu, mengulas saranan Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya DAP menangguhkan dulu hasrat keluar daripada pentadbiran kerajaan negeri, Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata, perkara itu akan dibincangkan esok.

Katanya, PH Melaka belum membuat sebarang keputusan rasmi berhubung kedudukan gabungan itu dalam kerajaan negeri setakat ini.

Beliau berkata, PH mempunyai mekanisme tersendiri dalam menyelesaikan sebarang isu yang membabitkan parti komponennya sebelum sesuatu pendirian diumumkan.

“Esok kita akan berbincang dan pandangan semua ADUN serta parti dalam PH akan diambil kira, selepas itu kita akan maklumkan keputusan rasmi.

“Memang kalau kita lihat mereka (empat ADUN DAP) ada maklumkan tindakan (tarik sokongan) dan setiap parti dalam PH ada hak masing-masing untuk bertindak, cuma bila dia bertindak atas nama PH, kita akan bincangkan secara konsensus.

“Ini dibuat tanpa menidakkan hasrat parti masing-masing, keutamaan kita tetap (perkhidmatan) kepada rakyat,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img