Lelaki ugut tembak pegawai AKPS ditahan

POLIS menahan seorang lelaki tempatan selepas dipercayai mengugut mahu menembak seorang pegawai penguat kuasa Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang sedang menjalankan tugas rasmi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, suspek berusia 46 tahun itu ditahan selepas pihaknya menerima maklumat serta laporan berhubung kejadian berkenaan, semalam.

Katanya, laporan dibuat seorang lelaki tempatan yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran di bawah AKPS.

“Susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan berjaya menangkap seorang lelaki tempatan berumur 46 tahun dan tiada rekod jenayah lampau.

“Kes masih dalam tindakan melengkapkan siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lim Jit Huey berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Semalam, media melaporkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) membuat laporan polis selepas seorang pegawai penguat kuasa agensi itu dipercayai diugut mahu ditembak.

Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, ugutan berkenaan dipercayai dibuat ketika pegawai terbabit sedang melaksanakan tugas rasmi.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img