SEBANYAK 93,599 kandungan berunsur penipuan dalam talian diturunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, jumlah itu menyaksikan kandungan berunsur penipuan dalam talian meningkat dengan ketara berbanding tahun sebelum ini.
Menurut beliau, pada 2023, sebanyak 6,297 kandungan berunsur penipuan diturunkan, sebelum meningkat kepada 63,652 pada 2024 dan sekali lagi meningkat kepada 98,503 pada tahun lalu.
“Bagaimanapun, untuk tahun ini, setakat 30 Jun saja, angka ini mencecah 93,599 kandungan,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Menyedari tindakan menurunkan kandungan berunsur penipuan sahaja tidak mencukupi, Nie Ching berkata, di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025, MCMC mengemukakan Kod Mitigasi Risiko, yang mewajibkan penyedia perkhidmatan media sosial mengesahkan identiti pihak yang membuat iklan di platform mereka.
“Jika platform itu dilesenkan di bawah MCMC dan mempunyai lebih lapan juta pengguna, mereka terikat di bawah Kod Mitigasi Risiko ini.
“Kita harap melalui penguatkuasaan ini, kes penipuan dalam talian boleh ditangani dengan lebih baik,” katanya.
Nie Ching menjelaskan, RUU Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026 bertujuan menyokong pelaksanaan Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) dalam sektor komunikasi dan multimedia, dengan memperkenalkan inisiatif PPS Kebangsaan.
Ia mengambil kira aspek pemeliharaan keselamatan negara dan perlu selaras dengan matlamat di bawah Seksyen 3 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta kerangka pelaksanaan di bawah Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Pemberian Perkhidmatan Sejagat) 2002.
“Melalui RUU ini, Akta 588 dipinda untuk memastikan kerangka perundangan komunikasi dan multimedia kekal relevan dalam mendepani perkembangan teknologi, ancaman hibrid, perkembangan geopolitik serta kebergantungan negara kepada infrastruktur digital yang kritikal,” katanya.
RUU Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026 diluluskan Dewan Rakyat selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.






