Kebakaran rumah: Remaja maut seorang lagi cedera

SEORANG remaja perempuan maut, manakala seorang remaja lelaki cedera dalam kebakaran sebuah rumah teres dua tingkat di Lorong 5 Permai Jaya, Tupong Ulu di Kuching awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa yang maut ialah Nurmanisha Khamis, 13, manakala Mohd Rayyan Mohd Faizal diselamatkan sebelum dihantar menaiki ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.23 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya bersama pasukan bantuan dari BBP Tabuan Jaya digerakkan ke lokasi.

“Pasukan bomba tiba pada jam 2.27 pagi dan mendapati sebuah rumah teres dua tingkat jenis kekal terbakar kira-kira 70 peratus.

“Maklumat awal diterima memaklumkan terdapat dua mangsa masih berada di dalam rumah ketika kebakaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, anggota bomba bertindak memasuki bangunan yang sedang terbakar bagi menyelamatkan kedua-dua mangsa yang dilaporkan terperangkap.

“Sebaik berjaya membawa keluar kedua-dua mangsa, anggota bomba segera memberikan rawatan awal di lokasi sebelum mangsa diserahkan kepada petugas KKM untuk tindakan lanjut.

“Bagaimanapun, remaja perempuan itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM di lokasi kejadian, manakala remaja lelaki dihantar ke hospital untuk menerima rawatan,” katanya.

Operasi pemadaman berjaya dikawal pada jam 3.14 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.40 pagi.

Operasi membabitkan 17 anggota bomba dengan kekuatan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan van, turut dibantu enam anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta tiga petugas KKM.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img