Lelaki kerugian lebih RM400,000 ditipu sindiket pelaburan saham palsu di TikTok

SEORANG lelaki mengalami kerugian lebih RM400,000 selepas menjadi mangsa penipuan saham dalam talian yang diiklankan dalam media sosial TikTok sejak Februari lalu.

Mangsa tampil membuat laporan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching  selepas menyedari dia menjadi mangsa penipuan sindiket itu.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, kejadian bermula sekitar Februari lalu ketika mangsa berada di Jeddah, Arab Saudi.

Beliau berkata, mangsa tertarik dengan satu iklan pelaburan pasaran saham yang dilihat di aplikasi TikTok sebelum mengambil keputusan untuk menyertainya.

“Mangsa kemudian berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp dan percaya dengan tawaran pelaburan yang dijanjikan, termasuk pulangan lumayan dalam tempoh singkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian membuat sebanyak 17 transaksi pemindahan wang ke lima akaun bank berbeza bermula 5 Mac hingga 15 April lalu.

“Jumlah keseluruhan wang yang dipindahkan adalah sebanyak RM660,000, namun mangsa hanya menerima pulangan sebanyak RM249,000,” katanya.

Mangsa mula menyedari dirinya ditipu apabila diminta membuat pelaburan tambahan kononnya bagi pembelian saham tawaran awam permulaan (IPO) bernilai RM2 juta untuk meningkatkan keuntungan pelaburan.

“Hasil semakan mendapati akaun pertama yang menerima wang mangsa dibuka di sebuah bank di cawangan Padungan, Kuching,” katanya.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM411,000 dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Alexson menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan tawaran pelaburan di media sosial serta melakukan semakan terperinci sebelum membuat sebarang keputusan kewangan, termasuk menghubungi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 sekiranya menjadi mangsa penipuan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img