POLIS Terengganu memberi jaminan tiada operasi ‘pukat’ sepanjang penganjuran RXZ Members 8.0 pada 31 Julai hingga 1 Ogos depan, namun peserta diingatkan supaya tidak melakukan sebarang kesalahan.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, pihaknya mengalu-alukan kehadiran lebih 100,000 penunggang motosikal dari seluruh negara ke Terengganu bagi menjayakan program berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang pengecualian diberikan kepada mana-mana peserta yang melakukan kesalahan lalu lintas atau melanggar undang-undang.
“Kita mengalu-alukan mereka semua datang ke Terengganu tetapi dalam masa sama mereka perlu mematuhi peraturan jalan raya.
“Tiada keistimewaan atau pengecualian terhadap mereka, sekiranya melakukan kesalahan, kita akan ambil tindakan.
“Jangan bimbang, penguatkuasaan tetap berjalan walaupun tiada operasi ‘pukat’ dilakukan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, hari ini.
Mohd Khairi berkata, seramai 619 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan sepanjang program itu bagi memastikan kelancaran lalu lintas serta ketenteraman awam.
Katanya, anggota polis turut ditempatkan di beberapa lokasi strategik termasuk Jalan Pantai Seberang Takir (Pantai Miami) dan Jalan Pantai Teluk Ketapang bagi menghalang peserta daripada melakukan aksi berbahaya seperti ‘wheelie‘.
“Kehadiran anggota polis di lokasi-lokasi berkenaan sebagai langkah pencegahan awal kerana kita tahu jalan tersebut lurus dan ada yang mungkin mengambil kesempatan untuk menunggang secara berbahaya,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Khairi mengingatkan peserta RXZ Members supaya tidak berlumba terutama di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) ketika datang atau pulang dari program berkenaan.
Peserta turut dinasihatkan supaya tidak membuat bising di kawasan awam seperti hospital dan kawasan penginapan, selain tidak membawa barang terlarang ke negeri Terengganu.
“Polis juga akan meningkatkan rondaan menggunakan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan kereta peronda (MPV) bagi memantau kawasan tumpuan orang ramai,” katanya.
Pada penganjuran tahun lalu, sebanyak dua kemalangan maut, dua kemalangan membabitkan kecederaan parah dan tujuh kemalangan dengan kecederaan ringan direkodkan.
Himpunan berkenaan menarik kehadiran lebih 100,000 peserta.






