DATUK Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah di atas pemergian Prof John L Esposito, sarjana terkemuka dunia dalam bidang kajian Islam yang disifatkannya sebagai sahabat sejati kepada dunia Islam.
Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata, beliau mengenali Esposito sejak awal 1970-an dan hubungan persahabatan mereka kekal selama lebih lima dekad.

Menurut beliau, sumbangan Esposito dalam membina kefahaman lebih mendalam mengenai Islam di Barat amat besar, termasuk dalam usaha memperkukuh dialog antara agama khususnya antara masyarakat Islam dan Kristian.
Beliau berkata, antara legasi Esposito termasuk mengasaskan Pusat Kefahaman Muslim-Kristian di Universiti Georgetown, menyunting Oxford Encyclopedia of the Islamic World serta pernah berkhidmat sebagai Presiden Persatuan Pengajian Timur Tengah Amerika Utara.
“Beliau membina jambatan penghubung tatkala pihak lain lebih selesa membina benteng pemisah antara tamadun. Saya akan mengenang John sebagai seorang sarjana yang hebat, namun lebih daripada itu, sebagai seorang sahabat yang nasihat serta pandangannya amat saya hargai selama bertahun-tahun.
“John seorang yang sangat pemurah dalam perbualan peribadi, sehebat ketelitian yang dizahirkannya di dada halaman penulisan. Malah, beliau sentiasa setia berada di sisi saya dalam mengharungi waktu susah dan senang,” katanya menerusi hantaran itu.
Katanya, karya Esposito termasuk What Everyone Needs to Know About Islam serta kajian bersama Dalia Mogahed menerusi Who Speaks for Islam? berjaya membawa pemahaman Islam kepada khalayak lebih luas, terutama selepas tragedi 11 September.
Anwar turut menyampaikan ucapan takziah kepada isteri Esposito, Jean serta keluarga, rakan sekerja dan para pelajarnya.
Perdana Menteri turut berharap legasi ilmu dan usaha Esposito dalam membina dialog antara masyarakat terus berkembang.






