Sisik tenggiling RM1.3 juta disorok dalam kotak, cuba diseludup ke luar negara

TAKTIK mengikrarkan sisik tenggiling sebagai barangan lain gagal mengaburi pemeriksaan apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas 100 kilogram (kg) sisik haiwan berkenaan bernilai RM1.3 juta di Lapangan Terbang Sandakan, Sabah.

Rampasan dibuat menerusi pemeriksaan berkala di pintu masuk kargo udara lapangan terbang berkenaan kira-kira jam 2.30 petang, 6 Julai lalu.

Pengarah Kastam Sabah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, pemeriksaan mendapati sisik tenggiling itu dibawa dari Kota Kinabalu menggunakan bas ekspres sebelum dihantar ke kargo udara, dipercayai untuk dieksport.

Menurutnya, sisik berkenaan disimpan dalam plastik hitam dan dimasukkan ke dalam lima kotak dengan setiap satu seberat 20 kg.

“Sindiket menggunakan taktik mengikrarkan dagangan dalam borang sebagai barangan lain bagi mengelirukan atau mengaburi pemeriksaan di pintu masuk kargo udara.

“Taktik itu dipercayai bertujuan mengelakkan pengesanan serta keperluan mendapatkan permit eksport bagi spesies terjadual,” katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata, tiada tangkapan dibuat setakat ini dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang terbabit dalam kegiatan berkenaan.

Ahmad Taufik berkata, sisik tenggiling adalah bahagian spesies terjadual yang perdagangan antarabangsanya dikawal dan memerlukan permit sah daripada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah.

Katanya, rampasan itu akan diserahkan kepada JHL Sabah, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 10 Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686).

“Ini rampasan pertama berkaitan sisik tenggiling yang dibuat tahun ini. Kita akan terus melakukan operasi dari semasa ke semasa bagi menangani sebarang aktiviti penyeludupan barang larangan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Taufik berkata, pihaknya merampas 95,080 batang rokok seludup bernilai kira-kira RM67,000 termasuk cukai dalam dua kes berasingan di Kampung Bariawa, Batu 8 dan Batu 2 1/2, di sini.

Katanya, tiada tangkapan dibuat dalam kedua-dua kes yang masing-masing berlaku pada 15 dan 16 Jun lalu.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 berkaitan pemilikan atau penyimpanan barang larangan.

“Sindiket menggunakan kawasan semak dan lokasi tersorok sebagai tempat menyembunyikan sementara rokok seludup untuk mengaburi pihak berkuasa sebelum diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img