AKHIRNYA Bersatu membuat keputusan yang dianggap tepat apabila Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi bayangan Bersatu akan membentuk satu gabungan baharu dengan parti-parti lain selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini.
Kenyataan Muhyiddin yang dibuat pada Majlis Pengumuman Calon Bersatu untuk PRN Negeri Sembilan itu, secara tidak langsung memberi isyarat keanggotaan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) yang kini dipimpin oleh Pas akan berakhir.
Kata bekas Perdana Menteri itu, antara parti yang akan menyertai gabungan tersebut ialah parti-parti di bawah Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), termasuk Putra yang dipimpin Ibrahim Ali dan Urimai yang diketuai P. Ramasamy.
Beliau juga memberitahu, gabungan baharu itu akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-16.
“Dalam IPR yang nyata kesediaan duduk bincang tentang apa konsep kerjasama yang kita nak bentuk dalam kurang satu tahun. Ini supaya kita dapat hadapi PRU akan datang dengan kekuatan baharu kita,” katanya
Dalam ucapan itu Muhyiddin mengambil kesempatan untuk mengkritik Pas yang dianggap membiarkan Bersatu ‘terkontang-kanting’ apabila gagal meneruskan rundingan pembahagian kerusi menjelang PRN Negeri Sembilan.
Beliau berkata, Pas pada mulanya memanggil mesyuarat bagi membincangkan agihan kerusi, namun ia tidak diteruskan sehingga menyebabkan Bersatu diketepikan daripada proses membuat keputusan.
“Sebaik tamat PRN Johor dan tinggal beberapa hari sebelum PRN Negeri Sembilan, mereka memanggil mesyuarat kononnya untuk bincang pembahagian kerusi. Tetapi mesyuarat tidak berlangsung kerana tak dapat putuskan.
“Sepatutnya ada mesyuarat lagi tetapi mereka tidak buat. Mereka berunding sesama sendiri dan tinggalkan kita begitu sahaja. Terkontang-kanting kita dibuatnya,” katanya.
Muhyiddin turut mempersoalkan tindakan kepimpinan PN yang membuat rundingan dengan parti lain tanpa melibatkan semua parti komponen gabungan itu.
‘’Bersatu sehingga kini masih merupakan parti pengasas dan ahli sah PN, sebarang keputusan sepatutnya diputuskan secara bersama.
“Hari ini pun kalau kita bertanding atas logo PN, kita masih ahli PN. Ini bukan parti Pas semata-mata. Semua parti dalam PN mempunyai hak yang sama dan tidak boleh dipinggirkan,” katanya.






