SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sentiasa membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana syarikat swasta yang berhasrat untuk menjalinkan kolaborasi strategik dalam usaha memerangi jenayah rasuah di negara ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, selain melaksanakan pelbagai program pencegahan rasuah, syarikat terbabit juga boleh memanfaatkan kepakaran yang boleh ditawarkan oleh Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA).
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada pengurusan tertinggi KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) diketuai oleh Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Mohd Farid Salim di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.
Menurutnya, KPJ Healthcare misalnya boleh melaksanakan kursus Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) di MACA SPRM memandangkan syarikat itu mempunyai pegawai integriti dan unit integriti membabitkan sebanyak 29 buah hospital pakar di seluruh Malaysia.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi KPJ Healthcare, Datuk Mohd Farid berkata, kunjungan hormat itu bertujuan untuk membina jalinan kerjasama yang lebih kukuh, mampan dan berimpak tinggi dalam menyokong agenda membanteras rasuah di negara ini.
Sebagai tanda sokongan padu, KPJ Healthcare bercadang untuk menganjurkan pelbagai program pencegahan rasuah secara bersama yang bakal dihadiri sendiri oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, sekali gus membawa mesej utama iaitu “KPJ Bebas Rasuah”.
Selain itu pKPJ Healthcare turut menyatakan kesediaan mereka untuk menyumbang kepakaran dalam aspek kesejahteraan warga kerja SPRM melalui penganjuran program kesihatan seperti sesi pemeriksaan kesihatan dan ceramah kesedaran penjagaan kesihatan.
Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Ahmad Nizam berkata, pihaknya sedia menjalankan pelbagai pengisian program pencegahan dalam masa terdekat membabitkan KPJ Healthcare.
“Kami sedia memberikan kerjasama penuh dan antara pengisian awal yang boleh kita laksanakan bersama termasuk majlis Lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR), sesi ceramah interaktif dan pelbagai aktiviti kesedaran yang bersesuaian,” katanya.
Turut hadir Ketua Unit Risiko KPJ Healthcare, Saravanan Desigamanie dan Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar Damansara 2, Dr Nor Liyana Khairuddin.






