Kuasai teknologi digital tanpa korbankan nilai, integriti, etika kewartawanan – PM

DATUK Seri Anwar Ibrahim menggesa pengamal media untuk meningkatkan penguasaan terhadap teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) tanpa mengorbankan nilai, integriti serta etika kewartawanan.

Perdana Menteri berkata, perkembangan teknologi yang semakin pesat menuntut media menguasai kemahiran baharu bagi memastikan penyampaian maklumat terus relevan.

Beliau bagaimanapun berkata, prinsip kewartawanan seperti kebenaran, kebebasan dan tanggungjawab tidak boleh diketepikan.

Katanya, kebebasan media yang diperjuangkan selama ini perlu diperkukuh seiring perubahan landskap komunikasi global yang kini dipacu AI dan digitalisasi.

“Harus sentiasa diperingatkan, nasihat, dalam mempertahankan keperluan kebebasan teknologi maklumat dan digital, serta kecerdasan buatan, dalam masa sama, teknologi baharu itu tidak harus miskin dan gersang dari segi nilai. Ini juga satu perkara yang perlu dikupas oleh kolumnis-kolumnis semasa.

“Saya percaya kerajaan menerusi Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil turut bertanggungjawab bersama MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) dapat membantu bagi pihak media. Kita akan mendengar pandangan dan menerima teguran dengan baik kerana dalam hal ini, negara tidak boleh berpecah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2026 dan Hadiah Kewartawanan Institut Akhbar Malaysia (MPI) – PETRONAS 2025 di Hotel The Majestic Kuala Lumpur malam ini.

Selain Fahmi, yang turut hadir, Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong; Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr Ainol Amriz Ismail dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai.

Perdana Menteri berkata, perkembangan teknologi digital membawa kekuatan baharu kepada industri media, tetapi turut hadir dengan cabaran yang perlu ditangani secara bijaksana.

“Hari ini ada orang-orang media kita berbicara tentang keperluan mencapai teknologi baharu tetapi berwaspada tentang kehilangan jati diri untuk menjaga nilai dan akhlak. Ini dibahaskan secara serius terutama dengan adanya teknologi ini,” katanya.

Katanya, jika dahulu dunia berdepan pengaruh media yang dikuasai kuasa Barat, kini masyarakat pula berhadapan cabaran baharu apabila teknologi digunakan sebagai instrumen mempengaruhi pemikiran.

“Kalau dulu captive mind itu diutarakan oleh pusat alat itu adalah pandangan yang disempitkan oleh teknologi yang tertentu. Sekarang captive mind ini adalah teknologi termasuk digitalisation tadi.

“Negara terpaksa bergerak untuk menguasai teknologi baharu tapi negara harus juga ingat, asal teknologi baharu itu tidak miskin dan gersang dari segi nilai. Bagaimana kita harus memenuhi keperluan teknologi baharu untuk mempertahankan nilai dan akhlak,” katanya.

Penganugerahan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-PETRONAS 2025 diadakan bagi mengiktiraf karya terbaik pengamal media menerusi 21 kategori.

Bertemakan `Newsroom’, MWM 2026 mengetengahkan bilik berita sebagai nadi kewartawanan yang terus berperanan memastikan setiap laporan disemak, disahkan dan diterbitkan secara beretika, meskipun industri media kini berdepan perubahan pesat akibat ledakan platform digital, media sosial dan teknologi AI.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img