SEORANG penuntut perempuan sebuah universiti swasta maut manakala tiga lagi cedera selepas kereta yang mereka naiki terbabas sebelum merempuh penghadang jalan dekat Tanah Tinggi Lojing di Gua Musang petang ini.
Mangsa, Nur Nabila Fatihah Zainal, 19, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi remaja perempuan dan dua lelaki mengalami kecederaan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Che Razak Harun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada polis kira-kira jam 3.40 petang sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi yang terletak 87 kilometer dari balai bomba.
“Anggota bomba tiba di lokasi kemalangan kira-kira jam 5.01 petang sebelum mendapati sebuah kereta jenis Perodua Kelisa terbabas ketika dalam perjalanan dari Cameron Highlands, Pahang menghala ke Gua Musang dan merempuh penghadang jalan.
“Mangsa, Nur Nabila Fatihah yang berada di tempat duduk penumpang depan disahkan meninggal dunia manakala tiga lagi mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital dengan ambulans,” katanya.
Che Razak memberitahu, anggota bomba mengeluarkan mangsa yang meninggal dunia daripada kereta tersebut pada jam 5.05 petang sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo ketika dihubungi mengesahkan kemalangan itu dan siasatan lanjut mengenai punca kejadian masih dijalankan.






