Pemain dram Meditasi meninggal dunia selepas rebah ketika persembahan

PEMAIN dram kumpulan rock kapak era 90-an Meditasi, Raja Azreen, 56, meninggal dunia selepas rebah ketika membuat persembahan di Rock Festival Teruntum di Kuantan malam tadi.

Perkhabaran duka itu mula tersebar menerusi media sosial apabila beberapa rakan penggiat seni berkongsi ucapan takziah, termasuk vokalis kumpulan Masa Legacy, Zack.

Menurut Zack, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir ketika menjayakan persembahan bersama kumpulannya di festival berkenaan.

“Assalamualaikum. Saya mendapat perkhabaran duka bahawa pemain dram kumpulan Meditasi, Abang Azreen, telah kembali ke rahmatullah malam tadi ketika membuat persembahan di Rock Festival Teruntum.

“Marilah kita bersama-sama menghadiahkan bacaan al-Fatihah kepada Allahyarham dan mengucapkan salam takziah kepada seluruh ahli keluarganya,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.

Dalam perkongsian susulan, Zack memaklumkan beliau dimaklumkan bahawa Allahyarham berhasrat untuk memainkan lagu pertama daripada album Meditasi pada persembahan tersebut, malah ia dikatakan merupakan permintaan terakhirnya.

Sementara itu, vokalis Meditasi, Burn, menerusi Facebook memaklumkan jenazah Allahyarham dijangka tiba di Surau Bangi Perdana, Bangi sekitar pukul 9 pagi ini sebelum dikebumikan.

Kumpulan Meditasi yang berasal dari Kampung Gali Hilir, Raub pernah mencipta nama dalam arena muzik rock tempatan sekitar era 1990-an menerusi beberapa lagu popular seperti Bidadari, Hukuman Pada Pesona dan Biar Pedih Kasih Memanjang.

Burn ketika ditemui BH Online mengakui masih terkejut dengan pemergian sahabat seperjuangan yang berkongsi pentas dengannya selama lebih tiga dekad.

Menurutnya atau nama sebenar Bakaruddin Daud itu, pemergian Allahyarham berlaku secara mengejut kerana arwah tidak menunjukkan sebarang tanda mengalami masalah kesihatan sepanjang tempoh persiapan persembahan.

Katanya, mereka sempat menjalani latihan bersama selama tiga hari di Raub sebelum menjayakan persembahan berkenaan.

“Sepanjang kami berlatih bersama-sama selama tiga hari di Raub, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan seperti tidak sihat atau sebagainya. Tetapi yang saya tahu, dia ada menghidap penyakit kencing manis,” katanya.

Mengimbas detik cemas itu, Burn berkata, Allahyarham rebah ketika mereka sedang menyampaikan lagu kedua menyebabkan persembahan terpaksa dihentikan.

Katanya, keadaan itu mengejutkan anggota kumpulan dan peminat yang menyaksikan persembahan mereka.

“Kami hanya sempat bermain separuh sahaja, selepas itu arwah rebah sehingga persembahan terpaksa dihentikan. Peminat memang agak kecoh apabila melihat keadaan itu,” katanya.

Dalam pada itu, Burn menyifatkan pemergian Raja Azreen sebagai kehilangan besar buat kumpulan Meditasi dan peminatnya kerana mereka sudah bersama lebih kurang 32 tahun.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img