DUA wanita warga Vietnam yang masih berstatus isteri orang antara tiga yang didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini atas pertuduhan terbabit dalam aktiviti persundalan dan melanggar syarat pas lawatan sosial sementara.
Mereka ialah Pham Thi Thao Van, 22; Dang Thi Dien, 22; serta Chao Thi Van, 22, yang dihadapkan di hadapan Majistret Aimi Nawwar Mohamad Othman.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas kesemua tertuduh tidak memahami bahasa Melayu atau Inggeris.
Mengikut pertuduhan, Pham Thi dan Dang Thi yang masing-masing mempunyai seorang anak, serta Chao Thi yang masih bujang, didakwa mencari langganan bagi maksud persundalan di sebuah hotel di Jalan Bakau Chondong, di sini, kira-kira jam 2 petang, 15 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan.
Selain itu, ketiga-tiga tertuduh turut didakwa melanggar syarat pas lawatan sosial sementara untuk menjalankan aktiviti persundalan pada tarikh, waktu dan lokasi sama.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Firdaus Ruslan, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Soh Zhi Yin.
Terdahulu, pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa tarikh baharu bagi sebutan diperlukan untuk kehadiran jurubahasa Vietnam, selain tidak menawarkan ikat jamin terhadap kesemua tertuduh.
Mahkamah kemudian membenarkan permohonan itu dan menetapkan 30 Julai ini untuk sebutan semula kes serta kehadiran jurubahasa.






