TINDAKAN seorang pemuda berusia 28 tahun bersekedudukan dengan wanita berstatus isteri orang membawa padah apabila dicekup dalam serbuan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), awal pagi semalam.
Serbuan kira-kira jam 3.15 pagi itu dilakukan di sebuah rumah kedai di daerah Pontian susulan aduan awam, dengan premis berkenaan terlebih dahulu dikepung di bahagian hadapan dan belakang.
Jurucakap JAINJ berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira lima minit mengetuk pintu sebelum dibuka oleh seorang lelaki yang memakai seluar panjang dan kemeja-T.
“Sebaik memasuki kediaman, pemeriksaan menemukan seorang wanita berada di atas tilam dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil siasatan lanjut mendapati kedua-duanya bukan suami isteri. Lelaki terbabit masih bujang manakala wanita berusia 50 tahun itu berstatus isteri orang,” katanya.
Menurutnya, rumah berkenaan disewa wanita terbabit dan dipercayai menjadi lokasi pertemuan pasangan itu yang bekerja di tempat sama.
“Kedua-duanya mengaku menjalin hubungan dan sering berjumpa di premis berkenaan,” katanya.
Katanya, pasangan terbabit kemudian ditahan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor kerana berkhalwat.


