SEORANG lelaki warga Malaysia yang ditahan kerana cuba menyeludup kokain bernilai 90.8 juta rupee (RM1.1 juta) di Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranaike (BIA), Katunayake, Sri Lanka, Sabtu lalu, dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket dadah antarabangsa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya sudah menerima maklumat daripada Biro Narkotik Polis (NB) Sri Lanka berhubung tangkapan suspek berusia 23 tahun itu.
“Suspek berasal dari Selangor dan semakan mendapati dia tiada rekod jenayah di Malaysia.
“JSJN percaya suspek tidak bertindak sendirian dan mempunyai kaitan dengan sindiket dadah antarabangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini, lapor Harian Metro.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek menaiki penerbangan dari sebuah negara di benua Arab ke Sri Lanka seorang diri sebelum ditahan pihak berkuasa negara itu.
Hussein berkata, polis juga percaya lelaki terbabit direkrut sebagai keldai dadah oleh sindiket.
“Berdasarkan maklumat yang diterima daripada pihak NB Sri Lanka, ketika ditahan suspek dipercayai menyeludup dadah jenis kokain itu dalam beg galasnya.
“Dadah berkenaan disorok dalam tin makanan dan modus operandi ini sering digunakan oleh sindiket keldai dadah,” katanya.
Terdahulu, portal berita Sri Lanka melaporkan suspek diberkas ketika cuba melalui laluan hijau di BIA, iaitu laluan bagi penumpang yang tidak membawa barangan untuk diisytiharkan.
Menurut laporan itu, suspek dipercayai membeli kokain berkenaan di Malaysia sebelum ke Dubai dan tiba di Katunayake kira-kira jam 9.30 pagi waktu tempatan dengan penerbangan Emirates EK-650.
Suspek dilaporkan bersetuju membawa dadah itu ke Sri Lanka sebagai balasan ganjaran RM10,000.





