Dua lelaki keldai dadah ditahan, hampir 26.4kg methamphetamine dirampas

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menahan dua lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai keldai dadah selepas cuba menyeludup masuk dadah bernilai RM1.32 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), 9 Julai lalu.

Pengarah JKDM Sarawak, Datuk Norizan Yahya berkata, kedua-dua suspek ditahan Cawangan Narkotik JKDM selepas tiba menerusi penerbangan domestik dari Johor Bahru, lapor Harian Metro.

Menurutnya, kedua-dua suspek dikesan bertindak mencurigakan apabila menanggalkan tag bagasi masing-masing bagi mengelakkan identiti mereka dikaitkan dengan bagasi yang membawa dadah.

“Dalam kes pertama kira-kira jam 9.10 malam, seorang lelaki tempatan ditahan selepas dilihat membawa bagasinya ke dalam tandas berhampiran ruang ketibaan sebaik menanggalkan tag bagasi.

“Pemeriksaan menemukan 13 bungkusan teh Cina disyaki mengandungi methamphetamine seberat 13.2 kilogram bernilai kira-kira RM660,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JKDM Sarawak, hari ini.

Beliau berkata, kira-kira 10 minit kemudian, pasukan sama menahan seorang lagi lelaki tempatan yang tiba dengan penerbangan sama selepas turut menanggalkan tag bagasi sebelum menyembunyikannya di dalam seluar.

“Hasil pemeriksaan menemukan 13 bungkusan teh Cina mengandungi methamphetamine seberat 13.178 kilogram serta 83 biji pil eramin 5 dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM660,560.

“Secara keseluruhan, JKDM merampas hampir 26.4 kilogram methamphetamine dan 83 biji pil eramin 5 bernilai RM1,320,560,” katanya.

Norizan berkata, siasatan awal mendapati sindiket menggunakan penerbangan domestik dari Semenanjung Malaysia ke Sarawak sebagai modus operandi membawa masuk dadah.

Katanya, kedua-dua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img