
BEKAS Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin didakwa sengaja menggunakan isu berkaitan Melayu dan Islam bertujuan menghidupkan semula pengaruh politiknya selepas kembali ke pangkuan UMNO.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Fahmi Fadzil sebaliknya menyifatkan, kenyataan dikeluarkan Khairy atau KJ yang mengaitkan persefahaman antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sebagai isyarat supaya PH lebih peka terhadap sensitiviti orang Melayu dianggap tidak mengejutkan.
“Kita biarkanlah KJ nak bertapak semula. Dia keluar (UMNO) agak lama dan nak mulakan balik asas politiknya.
“Jadi dia akan mengeluarkan apa sahaja kenyataan yang dirasa perlu supaya keberadaan dia dapat dilihat oleh orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas Program Ziarah Kasih di Felda Palong 2 di Jempol malam tadi.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi memberitahu, dakwaan Khairy bahawa Kerajaan Persekutuan kurang peka terhadap isu membabitkan Melayu adalah tidak relvan kerana isu mempertahankan hak orang Melayu dan agama Islam bukan dimonopoli mana-mana individu atau parti.
“Saya sebagai seorang Melayu sangat peka dan sensitif terhadap pelbagai perkara yang disebut. Bukan KJ seorang yang tahu pasal isu Melayu.
“Arwah datuk dan arwah nenek saya orang UMNO. Arwah nenek saya orang kuat UMNO dan kuat memperjuangkan nasib orang Melayu serta agama Islam. Takkan saya tinggalkan perkara seperti itu,” tegas beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan.
Sehubungan itu, Fahmi mengingatkan Khairy supaya tidak membina naratif yang menggambarkan seolah-olah PH tidak mempunyai pemimpin Melayu Islam.
“(Datuk Seri) Anwar Ibrahim bukan Melayu Islam? (Datuk Seri) Mohamad Sabu bukan Melayu Islam? (Datuk Seri Dr) Dzulkefly Ahmad bukan Melayu Islam? (Datuk Seri) Amirudin Shari, (Datuk Seri) Aminuddin Harun bukan Melayu Islam?.
“Hentikanlah bermain dengan kepalsuan ini. Ingat, sebagai seorang Muslim, setiap yang kita kata sekiranya dusta maka ada balasan di akhirat.
“Pesanan saya kepada Khairy, berpada-padalah. Jangan keterlaluan sehingga seolah-olah menidakkan kewujudan pemimpin Melayu Islam dalam PH semata-mata untuk meraih sokongan politik,” katanya lagi.
Khairy sebelum ini dilaporkan berkata, persefahaman BN-PN pada PRN Negeri Sembilan memberi mesej kepada PH supaya lebih peka terhadap sensitiviti orang Melayu serta menunaikan beberapa janji yang dibuat sebelum ini.






