Lelaki disyaki khianat bahan kempen PH individu pertama ditahan

SEORANG lelaki menjadi individu pertama di negeri ini ditahan polis selepas didapati melakukan kesalahan berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, lelaki berkenaan ditahan kerana disyaki merosakkan bendera Pakatan Harapan (PH) di tepi jalan dekat Jambatan Mengkan, Kuala Klawang.

“Malam tadi, sepasukan anggota polis menahan seorang lelaki susulan laporan polis diterima pada 19 Julai lalu berkaitan kejadian bendera parti dirosakkan dan dibuang ke dalam longkang.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, empat laporan polis diterima semalam dan dua kertas siasatan berkaitan kesalahan pilihan raya dibuka.

“Satu kertas siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat sehingga menyebabkan kehilangan atau kerugian harta benda.

“Satu lagi kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api sehingga menyebabkan kehilangan atau kerugian harta benda.

“Secara keseluruhannya, sepanjang tempoh dari hari penamaan calon sehingga semalam, kami menerima tujuh laporan polis dan membuka empat kertas siasatan berkaitan kesalahan pilihan raya,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Alzafny berkata, polis menerima 34 permohonan permit bagi penganjuran ceramah dan aktiviti kempen politik dan diluluskan selepas memenuhi syarat yang ditetapkan.

“Semua program dan aktiviti politik diadakan akan dipantau polis bagi memastikan penganjurannya mematuhi undang-undang serta tidak menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img