Penganggur ditahan selepas rempuh tiga kenderaan, miliki cecair disyaki MDMA

SEORANG penganggur ditahan selepas dipercayai memiliki cecair disyaki mengandungi dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) susulan kemalangan membabitkan tiga kenderaan dan sebuah rumah di Jalan Persiaran Awana, Cheras, dekat Kajang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.33 petang itu, lelaki tempatan berusia 41 tahun yang memandu Proton Preve dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang sebuah Perodua Myvi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, akibat pelanggaran itu, Perodua Myvi berkenaan tertolak ke hadapan lalu merempuh bahagian belakang sebuah Mazda CX-3 yang berada di hadapannya.

“Proton Preve itu kemudian melanggar bahagian sisi kiri Mazda CX-3 sebelum terbabas ke kiri jalan dan merempuh sebatang pokok.

“Impak pelanggaran menyebabkan pokok berkenaan tumbang lalu terkena tembok sebuah rumah berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, bagaimanapun tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas pemandu Proton Preve menemukan satu kartrij mengandungi cecair yang disyaki mengandungi dadah jenis MDMA.

“Semakan turut mendapati suspek tidak memiliki lesen memandu yang sah.

“Lelaki itu telah ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kes kemalangan disiasat mengikut Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959, manakala kes pemilikan dadah disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sehubungan itu, Naazron menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu secara berhemah, mematuhi peraturan lalu lintas dan berhati-hati bagi mengelakkan kemalangan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img