Sindiket guna KLIA seludup bunga ganja RM19.82 juta tumpas

POLIS menumpaskan sindiket penyeludupan bunga ganja ke negara Eropah selepas merampas 247.8 kilogram (kg) dadah bernilai RM19.82 juta dan menahan tujuh individu dalam enam operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) antara 11 hingga 17 Julai lalu.

Mereka yang ditahan terdiri daripada seorang wanita tempatan dan enam warga asing termasuk dua wanita yang dipercayai bertindak sebagai keldai dadah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, tangkapan pertama pada 11 Julai membabitkan seorang wanita tempatan berusia 37 tahun selepas polis menemukan 36 kg bunga ganja bernilai RM2.88 juta di dalam dua bagasinya.

Beliau berkata, pada 13 Julai, dua lelaki warga asing berusia 34 dan 48 tahun pula ditahan selepas pemeriksaan ke atas empat bagasi mereka menemukan 80 bungkusan mampat disyaki bunga ganja seberat 82.7 kg bernilai RM6.62 juta.

“Pada hari yang sama, dua wanita warga asing berusia 24 dan 25 tahun ditahan secara berasingan ketika berada di ruang menunggu pelepasan penerbangan.

“Pemeriksaan terhadap bagasi kedua-dua suspek menemukan masing-masing 32.5 kg bunga ganja bernilai RM2.6 juta dan 34 kg lagi bernilai RM2.72 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Menurut beliau, operasi diteruskan pada 14 Julai apabila seorang lelaki warga asing berusia 25 tahun ditahan bersama 31.2 kg bunga ganja bernilai RM2.5 juta.

Katanya, tangkapan terakhir pada 17 Julai membabitkan seorang lagi lelaki warga asing berusia 55 tahun dengan rampasan 31.4 kg bunga ganja yang dianggarkan bernilai RM2.51 juta.

“Sepanjang operasi ini, polis turut merampas wang tunai dalam pelbagai mata wang asing dan seutas rantai berwarna kekuningan.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga suspek warga asing positif dadah jenis THC,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati bekalan bunga ganja itu dipercayai untuk diseludup ke beberapa negara di Eropah, manakala suspek warga tempatan menerima upah sebanyak RM6,000 bagi setiap penghantaran.

Katanya, kesemua suspek direman antara tujuh hingga 14 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img