TIGA petugas Majlis Perbandaran Selayang (MPS) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan menerima rasuah berkaitan urusan permohonan lesen perniagaan dan permit sementara berjumlah RM3,550, pada 2020 dan 2024.
Mohd Hazri Nordin, 41, Muhammad Fauzan Hasbullah, 34, dan Mohd Aizuddin Mohd Yusof, 42, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan berasingan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Mohd Hazri yang bertugas sebagai pembantu tadbir didakwa atas dua pertuduhan menerima RM500 dan RM700 daripada seorang lelaki melalui akaun bank miliknya pada 20 Jan dan 20 Februari 2020 di Maybank cawangan Jalan Bandar Rawang, Gombak.
Wang suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk memudahkan urusan permohonan lesen perniagaan sebuah restoran di MPS.
Muhammad Fauzan, Penolong Pegawai Seni Bina didakwa menerima RM1,000 daripada seorang lelaki melalui akaun bank miliknya di Bank Islam Malaysia Bhd cawangan Shah Alam pada 26 Januari 2024 sebagai dorongan untuk mengesyorkan arkitek dalam proses permohonan permit tahunan sementara MPS milik seorang individu
Pertuduhan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Mohd Aizuddin sebagai Penolong Pegawai Seni Bina di Jabatan Bangunan MPS didakwa menerima wang RM1,350 daripada pemilik sebuah syarikat melalui akaun bank miliknya di Maybank Islamic Bandar Baru Selayang, Batu Caves pada 13 Julai 2020.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, iaitu menerima barang berharga daripada individu yang mempunyai kaitan dengan tugas rasminya sebagai penjawat awam.
Kesemua lelaki itu telah digantung tugas.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Alimi Mustapha dan Arif Asyraf Mohd Khairi manakala peguam yang mewakili tiga lelaki terlibat ialah Evie Melynda Jee, Zulazrai Zolkapli dan Nurul Aeir S. Muhammad Harvian Kamar.
Mahkamah membenarkan jaminan RM9,000 kepada Mohd Hazri dan Muhammad Fauzan (RM10,000) dengan seorang penjamin serta menetapkan sebutan semula kes pada 24 September manakala jaminan RM4,500 terhadap Mohd Aizuddin dengan kes disebut semula pada 25 September, lapor Bernama.






