
SALAH satu kawasan yang mendapat tumpuan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ialah Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan.
Ia memandangkan Datuk Dr. Mohamad Rafie Abdul Malek yang pernah menyandang kerusi itu dari 2018-2023 akan bertanding sekali lagi di situ tetapi bukan atas tiket PKR tetapi Perikatan Nasional (PN).
Beliau yang menyertai Pas pada 15 Jun lalu akan ditentang oleh bekas rakan separtinya dari PKR, Muhammad Nazri Kassim dan Calon Bersatu Noor’Azah Harun (Bersatu). Kerusi itu dimenangi PH menerusi Tengku Zamrah Tengku Sulaiman dengan majoriti 329 undi.
Bertarung dengan Dr.Mohamad Rafie dan berlawan dengan Noor’Azah sudah tentulah satu cabaran kepada Nazri yang diberi amanah untuk mempertahankan kerusi PH tersebut.
Namun Muhammad Nazri yakin melakukan dan menyifatkan pertandingan menentang Dr.Mohamad Rafie sebagai persaingan sihat dan biasa dalam politik memandangkan, setiap calon mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing.
“Ya, kami anggap ia sebagai pertandingan biasa dalam politik. Sudah tentu masing-masing mempunyai kelebihan dan juga kekurangan. Pertandingan kali ini nampaknya orang ke orang, pengundi ke pengundi, rumah ke rumah, surau ke surau dan masjid ke masjid. Itu pendekatan kempen kali ini,” katanya lapor FMT.
Muhammad Nazri berkata, sambutan pengundi sepanjang lima hari berkempen turut memberi keyakinan kepada PH untuk mempertahankan kerusi berkenaan.
Menurut beliau, strategi kempen lebih tertumpu kepada pertemuan secara bersemuka dengan setiap pengundi berbanding ceramah berskala besar.
Sementara itu Bernama melaporkan, Muhammad Nazri berhasrat menjadikan kawasan itu sebagai pusat bandar lebih bersih, selamat dan berdaya maju .
Beliau berkata antara keutamaannya ialah memastikan penyelenggaraan kemudahan asas seperti jalan raya, longkang, parit dan sungai diberi perhatian bagi mengelakkan kejadian banjir yang pernah berlaku hingga menjejaskan penduduk pada 2021.
Muhammad Nazri berkata pengurusan sungai yang berkesan amat penting, termasuk menerusi pendekatan penyelenggaraan secara timbal balik yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Sembilan.
“Alhamdulillah, program itu berjaya dan dalam tempoh tiga hingga empat tahun kebelakangan ini, tidak lagi berlaku banjir yang berat seperti dulu.
“Selain aspek tebatan banjir, keadaan sungai yang semakin baik turut membuka peluang untuk membangunkan kawasan rekreasi bagi aktiviti riadah seperti berjoging, berbasikal dan kegiatan sukan lain,” katanya pada program kempen PRN Negeri Sembilan di Seremban
Beliau berkata kedudukan Ampangan di tengah bandar Seremban berpotensi dibangunkan sebagai hab ekonomi dengan memperkasakan kawasan seperti Benteng, bagi menarik lebih ramai pengunjung, sekali gus membuka peluang pendapatan kepada peniaga kecil dan penduduk setempat.
“Kalau Ampangan bersih, landskapnya cantik, sungainya terjaga, parit dan longkangnya juga bersih, ia akan menghasilkan kehidupan yang lebih baik dan ramai orang boleh berniaga serta mendapatkan pendapatan di sini,” katanya.






