MALAYSI berjaya memastikan sebuah lagi kapal tangki Petronas melalui Selat Hormuz dan dijangka tiba di Melaka awal Ogos ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katany, kelulusan laluan itu diberikan Kerajaan Iran meskipun Selat Hormuz ditutup susulan konflik Iran dan Amerika Syarikat (AS).
“Semalam, Ketua Eksekutif Petronas , Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz, maklum kepada saya, satu lagi kapal Petronas bertolak dari Yanbu, Saudi Arabia, melalui Laut Merah, diberi kelulusan dan akan sampai ke Melaka pada awal Ogos.“Alhamdulillah. Ini menyebabkan dasar luar kita harus bijaksana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), di Port Dickson, hari ini.
Perdana Menteri berkata, hubungan baik Kuala Lumpur dan Tehran amat membantu dalam memastikan bekalan minyak negara tidak berdepan kesan melampau seperti negara lain susulan konflik di Asia Barat
“Apa jua masalah rakyat tidak harus terbeban, apa saya nafikan semuanya beres? Tidak. Di antara masalah kos sara hidup masih terbelenggu walaupun minyak diturunkan. Harga baja untuk kelapa sawit, kawasan FELDA, petani dan nelayan, harga barang keperluan semua naik melambung tinggi kerana sekatan di Selat Hormuz.
“Nasib baik hubungan kita dengan Iran baik, kita jaga hubungan dengan AS, bila disekat kapal Petronas pada beberapa bulan lalu,’’ katanya.
Anwar berkata, hubungan baik Malaysia dan Iran membolehkannya menghubungi Presiden Iran bagi memohon pelepasan kapal Petronas, yang kemudian menjadi antara kapal pertama dilepaskan sebelum tiba di Pengerang.
Sementara itu, Perdana Menteri memaklumkan rundingan secara terus antara Malaysia dan Turkiye bagi pembelian Kapal Tempur Pesisir (LCS) berjaya mengurangkan kos perolehan sebanyak 15 peratus.
Beliau berkata, pendekatan itu dilaksanakan bagi mengelakkan peningkatan kos pembelian aset pertahanan negara yang berpunca daripada pembayaran komisen kepada ejen.
“Saya telefon sahabat saya, Presiden Erdogan. Saya kata, kita nak beli kapal. Boleh tak kita runding terus antara dua kerajaan? Turunkan harga, tak payah komisen kepada ejen-ejen, Tan Sri-Tan Sri, Datuk-Datuk ini kerana kita tak mampu bayar terlalu banyak kepada ejen.
“Boleh tak kita runding? Minta kepakaran daripada Angkatan Tentera, pergi runding apa yang diperlukan, minta wakil Kementerian Kewangan lihat kos,” katanya.
Anwar berkata, cadangan rundingan secara terus itu turut mendapat sokongan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, yang menyifatkannya sebagai langkah yang baik.
“Presiden Erdogan menyifatkan ia sebagai cadangan yang baik. Jadi pembelian kita sedaya upaya sekarang antara dua kerajaan, dengan kos lebih rendah, ejen yang ambil dana terlalu tinggi itu dihentikan,” katanya lagi.






