Pasangan kekasih didakwa miliki pistol tiruan, kad pengenalan individu lain

SEPASANG kekasih dihadapkan ke Mahkamah Majistret Georgetown hari ini masing-masing atas pertuduhan berasingan memiliki pistol besi tiruan dan menyimpan kad pengenalan milik individu lain, baru-baru ini.

Kedua-dua remaja berusia 18 tahun itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Selvaranjini Selvaraja.

Berdasarkan pertuduhan, remaja lelaki itu didakwa memiliki sepucuk pistol besi tiruan di 942-H, Halaman Paya Terubong, Mukim 13, Relau pada jam 12.35 tengah malam, 21 Julai lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun, denda sehingga RM5,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi satu lagi pertuduhan, remaja perempuan terbabit mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki kad pengenalan milik seorang wanita berusia 25 tahun tanpa alasan munasabah.

Kesalahan dilakukan di sebuah hotel di Jalan Tun Dr Awang, Bayan Lepas kira-kira jam 8 malam pada 21 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Peraturan 25 (1) (o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 25 (1) peraturan sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda sehingga RM20,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lau Shavin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Jeffrey Beh, lapor Harian Metro.

Mahkamah membenarkan tertuduh lelaki dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Ogos ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan akhlak.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh perempuan diikat jamin sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin dan turut menetapkan 20 Ogos untuk sebutan semula kes dan serahan laporan akhlak tertuduh.

Media sebelum ini melaporkan, pasangan itu direman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes ugutan jenayah melibatkan objek menyerupai pistol selepas polis menerima laporan dua lelaki mendakwa diugut suspek lelaki yang menyewa sebuah bilik di rumah mereka di Halaman Paya Terubong.

Kedua-dua lelaki itu dilaporkan telah menegur pasangan berkenaan kerana bertengkar, sebelum suspek lelaki bertindak mengacukan objek menyerupai pistol ke arah mereka lalu beredar dari bilik sewa tersebut bersama teman wanitanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img