Laporan RCI Tabung Haji tak terbit elak rakyat hilang keyakinan -PM

LAPORAN Suruhanjaya Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) tidak diterbitkan tiga tahun lepas kerana kerajaan mahu mengelakkan rakyat daripada hilang keyakinan terhadap agensi berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendedahan laporan berkenaan pada ketika itu dikhuatiri boleh mencetuskan panik dalam kalangan pendeposit sehingga menyebabkan pengeluaran dana secara beramai-ramai yang berisiko melumpuhkan TH.

“Pada masa itu, tiga tahun lalu, kita tak mampu nak terbitkan. Kalau kita terbitkan, rakyat hilang keyakinan terhadap TH dan mereka tarik dana.

“Namun, sejak tiga tahun lalu pengurusannya bertukar di bawah Pengerusi Tan Sri Abdul Rashid Hussain yang mempunyai rekod pengurusan cemerlang. Tabung Haji kini kembali kukuh bertapak tetapi rakyat tetap perlu tahu,” kata beliau ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di Port Dickson hari ini.

Anwar berkata ketegasan Kerajaan Madani dalam menangani isu penyelewengan dan menitikberatkan tatakelola adalah bagi memastikan institusi yang memegang amanah rakyat, khususnya umat Islam dan komuniti peneroka tidak terus terancam.

Perdana Menteri turut berkongsi perkembangan positif mengenai pemulihan institusi itu apabila dimaklumkan bahawa TH telah dianugerahkan Pengurusan Haji Terbaik bagi musim haji tahun ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung Amanah Muhammad Faiz Fadzil, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Syahredzan Johan dan Timbalan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Shafi Muhammad dalam kenyataan bersama berkata Kabinet wajar membincangkan dan membuat keputusan sama ada laporan RCI itu boleh didedahkan kepada umum.

“Pakatan Harapan (PH) berpandangan ia penting demi kepentingan awam serta prinsip ketelusan dan akauntabiliti.

“Rakyat berhak mengetahui fakta sebenar agar segala persoalan yang berbangkit dapat diperjelas secara tuntas dan berdasarkan laporan rasmi,” kata mereka menerusi kenyataan itu.

Semalam, Anwar berkata kerajaan bersedia mendedahkan laporan akhir RCI berkaitan TH dalam masa terdekat bagi membolehkan rakyat mengetahui hasil siasatan terhadap dakwaan penjualan aset strategik agensi itu.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img