SEORANG pelajar lelaki sebuah tahfiz di Ayer Hitam, Johor dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini kerana didakwa mencederakan seorang pelajar junior sehingga patah tangan gara-gara mengejek mangsa melaungkan azan kurang merdu.
Tertuduh yang berusia 15 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.
Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa yang berusia 14 tahun di surau sebuah tahfiz di Ayer Hitam kira-kira jam 1 petang, 30 Jun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda, lapor Harian Metro.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Shazleen Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam Zurina Sidek.
Berdasarkan laporan, pada hari kejadian, mangsa ditugaskan melaungkan azan namun tertuduh mendakwa azan berkenaan tidak merdu.
Ini menyebabkan mangsa marah lalu menampar muka tertuduh, namun tertuduh membalasnya sehingga berlaku aksi tolak menolak.
Tertuduh kemudian menolak mangsa sehingga terjatuh. Bagaimanapun, tolakan itu menyebabkan pergelangan tangan kiri mangsa patah.
Susulan kejadian itu, mangsa ditemani ahli keluarga membuat laporan di Balai Polis Ayer Hitam.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dan kes ini akan disebut semula pada 29 September depan untuk serahan dokumen serta laporan akhlak.






