Taktik terbaharu guna lori sampah edar arak tidak bercukai RM1.07 juta dikesan

POLIS menahan dua lelaki serta merampas minuman keras tidak bercukai bernilai lebih RM1.07 juta yang diedarkan menggunakan lori sampah dalam dua serbuan di sekitar Kajang, baru-baru ini.

Operasi hasil risikan Cawangan Pengoperasian Ibu Pejabat Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Aman itu dijalankan di dua lokasi yang dipercayai dijadikan pusat penyimpanan dan pengedaran minuman keras berkenaan, bermula jam 4.30 petang Selasa lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dalam dua serbuan itu pihaknya menahan dua lelaki tempatan berusia 42 dan 62 tahun.

“Polis merampas 1,361 kotak minuman keras pelbagai jenama yang mengandungi 32,664 tin, selain sebuah lori Isuzu satu tan, sebuah Toyota Altis dan tiga telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusri berkata, keseluruhan nilai rampasan termasuk dua kenderaan itu dianggarkan berjumlah RM1,070,164.58.

Katanya, siasatan mendapati sindiket menggunakan lori sampah sebagai pengangkutan utama untuk menghantar minuman keras tidak bercukai kepada pelanggan.

“Ini kali pertama pihak berkuasa mengesan modus operandi menggunakan lori sampah bagi mengaburi kegiatan pengedaran minuman keras tidak bercukai.

“Taktik ini menunjukkan sindiket sentiasa mencari kaedah baharu untuk mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Mohd Yusri berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki minuman keras tidak bercukai.

Beliau dalam pada itu memberitahu, PGA merekodkan 82 kes rampasan minuman keras tidak bercukai bernilai RM14.52 juta di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Jun lalu.

Dalam tempoh sama katanya, sebanyak 87 individu turut ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan.

“Orang ramai digalak menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu membanteras kegiatan penyeludupan dan penjualan minuman keras tidak bercukai,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img