3 wanita Vietnam didenda salah guna pas lawatan, terbabit aktiviti persundalan

MAHKAMAH Majistret Batu Pahat hari ini menjatuhkan hukuman denda RM2,000 dan RM500 terhadap tiga wanita warga Vietnam selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan terbabit dalam aktiviti persundalan dan melanggar syarat pas lawatan sosial sementara.

Tertuduh Pham Thi Thao Van, 22, berhadapan dua pertuduhan manakala Dang Thi Dien, 22, dan Chao Thi Van, 22, masing-masing satu pertuduhan membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.

Pham Thi kemudian dijatuhi hukuman denda RM2,000 manakala Dang Thi dan Chao Thi masing-masing didenda RM500 seorang.

Mereka juga boleh dikenakan penjara satu dan empat bulan sekiranya gagal menjelaskan denda. Kesemua tertuduh membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, Pham Thi didakwa mencari langganan bagi maksud persundalan di sebuah hotel di Jalan Bakau Chondong, Batu Pahat kira-kira jam 2 petang, 15 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Selain itu, Pham Thi, Dang Thi dan Chao Thi juga didakwa melanggar syarat pas lawatan sosial untuk menjalankan aktiviti persundalan dengan kesemua kesalahan itu dilakukan pada tarikh, waktu dan lokasi sama, lapor Harian Metro.

Bagi kesalahan ini, mereka didakwa mengikut Seksyen 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, yang boleh dipenjara tidak melebihi enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Shazleen Ibrahim manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan.

Berdasarkan fakta kes, polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat membuat serbuan ke atas sebuah hotel kerana didakwa menjadi lokasi aktiviti persundalan.

Dalam serbuan itu, polis mendapati mereka terbabit dalam kegiatan itu dengan menggunakan pas lawatan sosial.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img