
PENGARAH Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Amirudin Shari berkata, konsep “Kesatuan Rakyat” merupakan pendekatan lebih sesuai untuk membina masa depan Malaysia berbanding retorik “penyatuan ummah” yang telah beberapa kali gagal.
Katanya, apa yang berlalu sekarang bukan kali pertama Pas dan UMNO cuba membawa hasrat perpaduan ummah, namun semuanya gagal.
‘’Sekurang-kurangnya 3 episod pernah berlaku yang menyaksikan usaha membawa naratif perpaduan ummah iaitu pada tahun 1972 apabila Pas menyertai Barisan Nasional; tahun 2008 apabila BN hilang majoriti dua pertiga; dan pada tahun 2018 apabila BN kalah Pilihan Raya Umum buat kali pertama dalam sejarah politik Malaysia,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, jika betul ‘penyatuan ummah’ boleh menyelesaikan semua masalah rakyat dan memajukan ekonomi, rakyat di negeri Terengganu, Kelantan, Kedah, dan Perlis sepatutnya sudah hidup jauh lebih selesa dan mempunyai pendapatan lebih tinggi berbanding penduduk di Tokyo, Dubai, dan Doha.’’
‘’Johor dengan 10 Timbalan Exco pula sepatutnya sudah menjadi Shenzhen Asia Tenggara. Waima demikian, rakyat di negeri-negeri tersebut memilih untuk mencari peluang pekerjaan dan kehidupan selesa di negeri-negeri seperti Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang,’’ katanya.
Mengenai kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), Amirudin berkata, BN perlu menyedari tidak lama lagi mereka akan cuba ditelan oleh Perikatan Nasional.
‘’Tanda-tanda PN ingin mendominasi BN sudahpun ada dengan ungkapan Perikatan Barisan Nasional,” katanya dalam kenyataan hari ini,’’ katanya.
Beliau berkata, PH telah membuktikan bahawa gabungan perpaduan berasaskan kepercayaan merupakan koalisi terbaik untuk mengangkat martabat rakyat supaya ekonomi Malaysia berjaya.
‘’Prestasi dan komitmen Pakatan Harapan bukan sekadar janji kerana ia telah terbukti dan sedang dinikmati oleh rakyat di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, dan kini di peringkat Persekutuan,’’ katanya.
Amirudin berkata, golongan susah diberikan bantuan kewangan bagi mengatasi kos sara hidup, Islam terus subur di samping agama lain diamalkan secara aman, generasi muda menerima peluang pendidikan serta pekerjaan berkualiti tinggi, keluarga menikmati rumah mampu milik, manakala warga emas disokong atas jasa kepada negeri dan negara.
“Jika pihak lain yang ketandusan idea ingin menghantui rakyat dengan retorik politik ‘penyatuan ummah’, tekad PH pula akan berlandaskan Kesatuan Rakyat selaras prinsip Rukun Negara bagi masa depan Negeri Sembilan dan Malaysia yang makmur, harmoni, stabil, melalui pembangunan sebuah masyarakat yang yakin dan berwawasan,” katanya.






