PELANTIKAN 10 Timbalan Exco tidak mewujudkan sebarang kuasa eksekutif baharu dan mereka bukan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan tidak menghadirinya.
Dalam satu kenyataan, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata mereka juga tidak mempunyai kuasa membuat keputusan bagi pihak exco, dan tidak mempunyai kuasa meluluskan dasar, kewangan atau apa-apa keputusan eksekutif.
Berikut kenyataan penuh beliau:
Saya mengambil maklum kenyataan dan serangan politik yang dibuat oleh beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) berhubung pelantikan 10 Timbalan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Johor.
Kerajaan menghormati hak semua pihak untuk mengemukakan pandangan, namun adalah penting agar perkara ini dilihat secara menyeluruh berdasarkan prinsip pentadbiran, keperluan semasa serta kedudukan undang-undang.
Ingin saya tegaskan bahawa, seperti yang dinasihatkan oleh Penasihat Undang-Undang negeri Johor, pelantikan 10 Timbalan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Johor dibuat dalam ruang kuasa pentadbiran Kerajaan Negeri. Adalah penting difahami bahawa Timbalan Exco bukan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Mereka tidak mempunyai kuasa membuat keputusan bagi pihak Exco, tidak menghadiri Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri dan tidak mempunyai kuasa meluluskan dasar, kewangan atau apa-apa keputusan eksekutif.
Semua kuasa membuat keputusan kekal berada sepenuhnya di bawah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebagaimana yang diperuntukkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor.
Justeru itu, pelantikan ini tidak mewujudkan sebarang kuasa eksekutif baharu, tidak memindahkan kuasa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan tidak mengubah struktur pentadbiran Kerajaan Negeri.
Ia juga tidak mengubah mandat yang telah diberikan oleh rakyat melalui pilihan raya, sebaliknya merupakan satu mekanisme pentadbiran bagi memperkukuhkan pelaksanaan dasar dan penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Lantikan ini bukan bertujuan menambah jawatan politik atau memperbesar birokrasi kerajaan. Sebaliknya, ia diwujudkan bagi meningkatkan kapasiti pentadbiran supaya pelaksanaan dasar, pemantauan projek serta penyelesaian isu-isu rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, pantas dan berkesan.
Johor kini sedang memacu pelbagai agenda strategik termasuk Johor Economic Transformation Plan (JETP), Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), RTS Link serta pelbagai projek berimpak tinggi menjelang tahun 2030. Seiring dengan perkembangan ini, kapasiti pentadbiran juga perlu diperkukuhkan agar setiap dasar dapat diterjemahkan kepada tindakan dan hasil yang memberi manfaat kepada Bangsa Johor.
Pelantikan ini dibuat dengan mengambil kira kemampuan kewangan negeri dan hanya melibatkan implikasi kewangan yang minimum, dengan penggunaan aset serta kemudahan sedia ada Kerajaan Negeri.
Tiada portfolio baharu diwujudkan dan tiada pertambahan struktur pentadbiran yang membebankan kewangan negeri.
Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk mentadbir secara telus, berhemah dan bertanggungjawab. Setiap keputusan yang dibuat berpaksikan kepentingan rakyat, keperluan semasa serta usaha memperkukuhkan keupayaan pentadbiran negeri.






