PRN Negeri Sembilan : Calon PH DUN Lenggeng fokus peluang kerja, kemudahan asas

PELUANG pekerjaan untuk golongan muda dan penyediaan kemudahan asas menjadi antara keutamaan yang mahu diberi perhatian oleh calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng, Hajah Zarinna Abu Zarin sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos ini.

Menurut beliau, hasil turun padang sepanjang tempoh berkempen menunjukkan dua isu itu paling kerap dibangkitkan penduduk selain keperluan memastikan kebajikan masyarakat terus dipelihara tanpa mengira kaum dan agama.

Setakat ini bagaimana Hajah melihat sambutan penduduk?

Hajah Zarinna Abu Zarin ketika ditemui media, hari ini. Gambar : NURUL SHAFINA JEMENON

Hajah Zarinna Abu Zarin: Alhamdulillah, walaupun ini kali pertama saya bertanding dalam pilihan raya, saya sebenarnya tidak asing di Lenggeng kerana sudah lama turun padang sebagai aktivis masyarakat. Saya banyak bersama masyarakat termasuk komuniti Orang Asli dan setiap kali musim perayaan kami akan mengagihkan bakul makanan kepada kira-kira 200 keluarga tanpa mengira kaum. Sambutan yang diterima setakat ini sangat menggalakkan dan memberi semangat untuk saya terus mendekati rakyat.

Apakah isu yang paling banyak dibangkitkan penduduk?

Hajah Zarinna Abu Zarin: Antara isu utama yang dibangkitkan ialah peluang pekerjaan terutama untuk golongan muda. Selain itu, penduduk turut berharap beberapa kemudahan asas dapat disediakan seperti mesin ATM, stesen minyak dan pasar mini. Walaupun nampak kecil, kemudahan ini sangat penting bagi memudahkan urusan harian penduduk dan saya melihat ia sebagai perkara yang perlu diberi perhatian.

Jika diberi mandat sebagai wakil rakyat, apakah perkara pertama yang akan dilakukan?

Hajah Zarinna Abu Zarin: Saya mahu menjadi wakil kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang. Keutamaan saya adalah memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat perhatian dan tidak ada yang tercicir daripada menikmati pembangunan serta bantuan yang disediakan.

Bagaimana Hajah melihat sambutan penduduk terhadap manifesto PH?

Hajah Zarinna Abu Zarin: Manifesto yang dilancarkan PH lahir daripada keprihatinan terhadap keperluan rakyat. Saya yakin rakyat menerima tawaran ini dengan baik kerana ia memberi tumpuan kepada perkara yang benar-benar diperlukan masyarakat. Saya percaya ramai berharap manifesto ini dapat dilaksanakan.

Apakah pesanan Hajah kepada pengundi?

Hajah Zarinna Abu Zarin: Saya berharap semua pengundi DUN Lenggeng dapat membuat pilihan yang bijak dan keluar mengundi lebih awal pada 1 Ogos nanti. Kepada mereka yang pulang dari luar negeri atau luar negara untuk mengundi, saya doakan segala urusan dipermudahkan dan perjalanan mereka selamat supaya dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img