Aliff Rakib juara dunia interim ONE Championship tumbangkan legenda Thailand

JAGUH Muay Thai negara, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib mencipta sejarah terbesar dalam karier profesionalnya apabila menumbangkan legenda Thailand, Sam-A Gaiyanghadao dalam pertarungan utama ONE Championship di Stadium Lumpinee, Bangkok, Thailand.

Aliff Rakib memastikan kemenangan penuh bergaya selepas menewaskan Sam-A menerusi knockout (KO) pada pusingan kelima sekali gus dinobatkan sebagai Juara Dunia Interim ONE Strawweight Muay Thai.

Kejayaan itu cukup bermakna buat atlet negara berkenaan apabila berjaya menewaskan salah seorang nama paling disegani dalam arena Muay Thai dunia di gelanggang keramat sukan tempur Thailand.

Beraksi di hadapan penyokong tuan rumah, Aliff Rakib tidak gentar berdepan pengalaman luas serta reputasi besar Sam-A sebelum menamatkan pertarungan pada pusingan terakhir.

Kemenangan menerusi KO pusingan kelima itu menjadi kemuncak kepada persembahan cemerlang Aliff Rakib yang terus memberikan tekanan sehingga berjaya mencari ruang terbaik untuk menjatuhkan jaguh Thailand berkenaan.

Selepas pertarungan, Aliff Rakib meluahkan rasa syukur atas kejayaan yang dilakar selain menghargai sokongan peminat Malaysia yang hadir memberikan sokongan di Stadium Lumpinee.

“Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang Malaysia yang datang memberi sokongan. Saya sudah berjanji mahu membawa balik tali pinggang ini ke Malaysia dan saya akan bawa balik.

“Saya berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan kejuaraan ini. Saya melalui banyak cabaran dan penat lelah untuk sampai ke tahap ini. Kemenangan serta tali pinggang ini saya dedikasikan buat ayah saya,” katanya.

Aliff Rakib turut menerima bonus kemenangan berjumlah AS$50,000 (RM214,000) selepas persembahan hebatnya pada aksi berkenaan, sesuatu yang disifatkan cukup bermakna selepas sekian lama tidak menerima bonus.

“Alhamdulillah, saya sudah lama tidak mendapat bonus, lebih setahun. Saya sangat gembira menerima bonus ini,” katanya.

Kejayaan itu membuktikan semangat juang, disiplin serta keberanian anak Malaysia itu untuk mencabar atlet bertaraf dunia, selain mengangkat nama negara di pentas ONE Championship.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img